CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, percaya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung Oktober ini bakal jadi antara himpunan paling berprofil tinggi, dengan kehadiran pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat dan Presiden China.
Teruskan MembacaBercakap pada sambutan ulang tahun ke-58 ASEAN di Cyberjaya hari ini, Anwar sempat mengimbas jasa pemimpin-pemimpin awal ASEAN yang berani dan berpandangan jauh walaupun Asia Tenggara ketika itu berdepan pelbagai cabaran pasca-kemerdekaan.
“Mereka bukan saja fikir untuk negara sendiri, tapi juga pentingkan jiran, rantau dan dunia,” katanya.
Anwar juga mengingatkan bahawa walaupun ASEAN sudah capai banyak kemajuan, cabaran tetap ada, dan kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini akan diukur pada hasil Sidang Kemuncak nanti.
Beliau turut memuji kerjasama erat negara-negara anggota, termasuk Thailand, Kemboja dan Indonesia, dalam menangani isu keselamatan serantau daripada usaha damai Thailand-Kemboja, sehinggalah kemajuan awal dalam krisis Myanmar.
Tema sambutan Hari ASEAN tahun ini adalah Ke Arah Masa Depan ASEAN Yang Inklusif dan Lestari, selari dengan misi membina rantau yang stabil, harmoni dan mampan.
Untuk info, ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina melalui Deklarasi Bangkok, dengan matlamat mempromosikan kerjasama politik, ekonomi dan keselamatan di Asia Tenggara.