KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung selama tiga hari di ibu negara akhirnya melabuhkan tirainya pada Selasa, menandakan berakhirnya pertemuan besar pemimpin serantau dan rakan dialog dengan pelbagai pencapaian penting yang bakal membentuk masa depan Asia Tenggara.
Teruskan MembacaAntara momen paling bersejarah kali ini ialah kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN, sesuatu yang disambut hangat sebagai simbol keterangkuman dan perpaduan rantau ini.
Sepanjang sidang berlangsung, para pemimpin membincangkan pelbagai isu utama termasuk usaha memperkukuh integrasi ekonomi, memperluas kerjasama strategik, serta mempertingkat daya tahan ASEAN terhadap cabaran global seperti perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Malaysia, sebagai tuan rumah, memainkan peranan penting dalam memacu perbincangan ke arah keamanan, kemampanan dan kesejahteraan bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan terus kekal sebagai suara yang memperjuangkan dialog terbuka dan persefahaman dalam menyelesaikan sebarang pertikaian serantau.
“Malaysia sentiasa memainkan peranan aktif dalam memupuk semangat keterangkuman, kemampanan dan keamanan serantau. Kita akan terus menyeru agar semua pihak memilih jalan dialog dan persefahaman untuk mencapai penyelesaian yang aman,” katanya ketika berucap pada sidang media penutup.
Anwar turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua petugas media yang bertungkus-lumus membuat liputan sepanjang sidang berlangsung.
“Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua petugas media tempatan dan antarabangsa. Liputan kalian yang menyeluruh dan berkualiti tinggi menjadi jambatan penting antara dasar dan rakyat,” katanya.
Sidang kali ini turut memberi tumpuan kepada isu transformasi digital, keselamatan makanan dan pembangunan inklusif, seiring usaha ASEAN memastikan rantau ini kekal relevan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Dengan berakhirnya sidang ini, ASEAN kini melangkah ke hadapan dengan semangat baharu membawa harapan lebih satu bilion rakyat rantau ini ke arah masa depan yang lebih aman, makmur dan bersatu.
















