KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal dari Indonesia, Ruri Repvblik mencuri perhatian apabila tampil memberi jaminan untuk tidak membuka baju di atas pentas sepanjang menyertai Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), demi menghormati undang-undang dan sensitiviti masyarakat Malaysia.
Teruskan MembacaRuri atau nama sebenarnya Ruri Wantogia, 44, mengakui gaya persembahannya di Indonesia agak berbeza, namun beliau sepenuhnya memahami bahawa di Malaysia, budaya dan peraturan tidak sama.
“Kalau di Indonesia, saya dah biasa buat persembahan tanpa baju. Memang itu gaya saya atas pentas. Tapi bila di Malaysia, saya tahu benda tu tak sesuai. Saya hormati undang-undang dan budaya di sini,” katanya ketika ditemui selepas persembahan minggu pertama GV12 di Dewan MBSA, Shah Alam.
Ruri juga tidak terasa apabila pengacara GV12, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, bergurau mengenai klip video lamanya yang tular menunjukkan dia membuka baju semasa membuat persembahan di Indonesia.
“Saya anggap itu gurauan saja, tak ada masalah pun. Saya faham budaya di sini berbeza, jadi saya cuba sesuaikan diri. Saya nak peminat Malaysia kenal saya bukan sebab kontroversi, tapi sebab muzik,” ujarnya.
Menariknya, penyanyi ini juga mengakui agak gementar kerana GV12 merupakan pertandingan pertama yang dinilai secara langsung oleh juri profesional. Namun, ia tidak menghalangnya untuk memberikan persembahan terbaik.
“Saya sebenarnya agak gugup sebab ini kali pertama saya dinilai secara live oleh juri. Tapi saya anggap ini pengalaman dan peluang besar untuk kembangkan nama Repvblik di Malaysia,” katanya.
Ruri turut berkongsi bahawa sebelum menerima tawaran menyertai GV12, dia terlebih dahulu mendapatkan restu daripada rakan-rakan sekumpulan dalam band Repvblik.
“Saya ada berbincang dengan anggota kumpulan Repvblik dan mereka semua sokong keputusan saya. Tak rasa penat pun nak ulang-alik ke Malaysia sebab saya gembira dan nikmati pengalaman ni,” jelasnya lagi.
Sikap profesional dan rasa hormat Ruri terhadap undang-undang serta budaya tempatan jelas mendapat pujian ramai. Bagi peminat muzik tanah air, kemunculan Ruri dalam GV12 bukan sahaja memberi warna baru kepada pertandingan itu, tetapi juga memperlihatkan semangat kejiranan serumpun yang semakin erat antara artis Malaysia dan Indonesia.
















