KUALA LUMPUR: Nampaknya penggunaan media sosial untuk golongan muda bakal berubah besar tahun depan apabila kerajaan bercadang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial baru.
Teruskan MembacaCadangan ini diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang menegaskan langkah tersebut dibuat demi keselamatan kanak-kanak daripada risiko dunia digital seperti buli siber, kandungan tidak sesuai dan scam yang makin berleluasa.
Menurut Fahmi, kerajaan kini dalam fasa akhir merangka peraturan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. Bila ia dilaksanakan nanti, platform media sosial perlu pastikan setiap pengguna baru melalui proses eKYC, iaitu pengesahan identiti menggunakan dokumen rasmi bagi membuktikan umur sebenar.
Ini bermaksud, akaun baru untuk bawah 16 tahun tak akan diluluskan langsung.
Malaysia juga dikatakan sedang meneliti model dari beberapa negara luar, termasuk Australia, yang sudah pun menguatkuasakan ketetapan umur minimum untuk media sosial.
Dalam masa yang sama, Fahmi turut mengingatkan ibu bapa untuk lebih peka dengan penggunaan telefon dan media sosial anak-anak. Katanya, ini masa terbaik untuk galakkan lebih banyak aktiviti fizikal, interaksi sosial di dunia sebenar dan kurangkan kebergantungan kepada skrin.
Cadangan ini mendapat pelbagai reaksi, ada yang sokong kerana langkah ini dianggap demi keselamatan generasi muda, tetapi ada juga yang rasa larangan sebegini mungkin terlalu ketat dan sukar dipantau sepenuhnya.
Apa pun, jika ia benar-benar dilaksanakan tahun depan, penggunaan media sosial untuk remaja bawah 16 tahun di Malaysia bakal berubah secara total.







