Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan usaha melindungi kanak-kanak di alam siber akan terus diperkukuh menerusi kerjasama rapat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Teruskan MembacaMenurut MCMC, di sebalik kemudahan Internet yang memudahkan urusan harian, wujud juga sisi gelap yang boleh mengancam keselamatan dan maruah kanak-kanak jika tidak dibendung sejak awal.
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan pelaksanaan Op Pedo 1.0 dan Op Pedo 2.0 berjaya membongkar jenayah seksual kanak-kanak yang berselindung di sebalik platform dalam talian.
“Melalui penguatkuasaan bersama pihak Polis, tindakan tegas diambil tanpa sebarang kompromi. Hasil operasi ini menyaksikan puluhan individu ditahan dan ratusan ribu bahan Penganiayaan Seksual Kanak-kanak (CSAM) dirampas di pelbagai lokasi,” menurut kenyataan itu.
MCMC menegaskan, kejayaan operasi berkenaan bukan sekadar angka atau statistik, sebaliknya satu peringatan jelas bahawa jenayah terhadap kanak-kanak tidak akan dibiarkan berleluasa, dan setiap pelaku akan berdepan tindakan undang-undang.
Dalam pada itu, MCMC turut mengingatkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 memberi kuasa perundangan lebih kukuh bagi meningkatkan keselamatan pengguna Internet, khususnya melibatkan kanak-kanak dan keluarga.
Menurut MCMC, penguatkuasaan akta berkenaan menjadi langkah penting dalam memastikan ruang digital negara lebih selamat, selari dengan cabaran dunia siber yang semakin kompleks.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ONSA boleh mendapatkan maklumat di laman rasmi MCMC di https://mcmc.gov.my/en/onsa/home
















