Stadium Nasional Bukit Jalil benar-benar jadi saksi malam bersejarah apabila lebih 65,000 penonton bangun serentak dan berjoget lambak sepanjang Konsert Legacy 30: Passion, Sincere & Love nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Apa yang berlaku bukan sekadar konsert biasa, apabila suasana bertukar jadi macam pesta rakyat gergasi bila Siti sendiri ajak penonton untuk bangun dari tempat duduk dan menikmati muzik bersama-sama. Dalam sekelip mata, seluruh stadium dipenuhi sorakan, nyanyian dan gerakan tarian yang buat bulu roma meremang.
Teruskan MembacaDengan senarai lagu hit dari pelbagai era, Siti membuktikan kenapa namanya masih kekal relevan selepas 30 tahun dalam industri. Dari balada menyentuh jiwa hinggalah lagu rancak yang buat kaki tak boleh duduk diam, penonton dilihat menyanyi tanpa henti, ada yang siap menangis dan ada yang ketawa puas.
Salah satu momen paling menyentuh perasaan adalah ketika Siti menyampaikan lagu tradisional Cindai sebagai penghormatan buat Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah), membuatkan stadium bergema dengan tepukan panjang dan sorakan penuh emosi.
Konsert mega itu turut diserikan dengan kehadiran artis jemputan seperti Hafiz Suip, Noh Salleh, Umairah dan penyanyi Indonesia, Cakra Khan, yang masing-masing membawa warna tersendiri ke atas pentas.
Menariknya, ada peminat yang berseloroh mengatakan joget lambak malam itu layak direkodkan sebagai antara joget paling ramai dalam sejarah konsert tempatan, bukti betapa kuatnya aura dan pengaruh Siti Nurhaliza.
Malam tersebut bukan sekadar meraikan muzik, tetapi menjadi simbol cinta, nostalgia dan penghargaan terhadap seorang legenda yang masih mampu ‘menghidupkan’ sebuah stadium penuh manusia.
Pendek kata, siapa yang hadir malam itu bukan sekadar menonton konsert, tetapi mereka menjadi sebahagian daripada sejarah.
















