Pelakon dan penyanyi, Lufya Omar, meluahkan rasa kecewa apabila kumpulan usrah yang disertainya turut menjadi sasaran kecaman netizen susulan satu isu tular yang mengaitkan individu tertentu dengan jenayah.
Teruskan MembacaMenurut Lufya, dia terkilan apabila ada pihak yang dengan mudah menyamakan semua ahli kumpulan usrah sebagai menyokong perbuatan salah, sedangkan realitinya mereka hanya berkumpul untuk saling memperbaiki diri dan mendalami ilmu agama.
“Janganlah disebabkan kesalahan seorang, semua orang lain dipukul rata. Tak adil untuk mereka yang ikhlas nak berubah dan istiqamah,” katanya.
Lufya turut menyifatkan beberapa komen netizen sebagai melampau dan keterlaluan, malah ada yang meninggalkan kecaman di ruangan komen hantaran berkaitan usrah bulanan yang turut melibatkan selebriti lain serta ustazah.
Katanya lagi, proses hijrah dan usaha untuk menjadi insan yang lebih baik bukan perkara mudah, apatah lagi untuk kekal konsisten. Justeru, dia berharap orang ramai lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguris perasaan pihak lain.
“Kalau tak mampu beri sokongan, cukuplah dengan tidak menghukum. Doakan yang baik-baik, itu lebih mulia,” luahnya.
Lufya juga menegaskan bahawa menyertai usrah bukan bermaksud menyokong kesalahan sesiapa, sebaliknya ia adalah ruang untuk muhasabah diri dan mencari ketenangan.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai, dengan ada yang bersetuju bahawa netizen kini terlalu cepat membuat kesimpulan tanpa mengetahui cerita sebenar.
















