Kes tragis melibatkan seorang penuntut kolej, Nurfisya Zulkifly, 19, yang ditemui maut dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Kelantan memang mengejutkan ramai. Dalam tempoh kurang 48 jam, pelbagai perkembangan pantas berlaku, dari penemuan mayat hingga kepada penahanan beberapa individu yang disyaki terlibat.
Setakat ini, siasatan polis menunjukkan banyak perkembangan penting termasuk hasil forensik, rampasan barang kes, tangkapan suspek dan penjelasan rasmi bagi menangkis pelbagai spekulasi yang tular di media sosial.
Teruskan MembacaIni kronologi penuh kes:
1 Mei – Sekitar jam 12.30 tengah malam, orang awam menemui seorang wanita terbaring dalam keadaan berlumuran darah di Kampung Kubang Kiat, Ketereh. Pada mulanya disangka sedang tidur, namun rupa-rupanya mangsa telah meninggal dunia sebelum polis dihubungi.
Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan pengecaman identiti.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hasil pemeriksaan awal forensik mendapati terdapat 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa, dari muka hingga ke kaki, dengan kecederaan lebih tertumpu di bahagian kanan badan.
Polis turut menemui beberapa barangan peribadi seperti rantai leher bertulis ‘SYAA’, gelang tangan, cincin, manik berwarna-warni, cermin mata dan selendang. Namun, tiada dokumen pengenalan diri ditemui.
Identiti mangsa akhirnya disahkan sebagai Nurfisya Zulkifly, pelajar kolej berusia 19 tahun dari Perak yang belajar di Kota Bharu, hasil semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Siasatan awal percaya mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di situ.
Keluarga mangsa segera bertolak dari Perak ke Kelantan selepas dimaklumkan pihak polis. Difahamkan, abang mangsa hanya mengetahui butiran lanjut selepas membaca laporan berita dalam talian.
2 Mei – Dalam tempoh antara petang 1 Mei hingga awal pagi 2 Mei, polis berjaya menahan empat individu, dua remaja lelaki berusia 19 tahun serta sepasang warga emas berumur 60 dan 66 tahun.
Polis turut merampas dua buah kereta, pakaian, selipar, pelapik kaki serta sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Sekitar jam 5.30 pagi, jenazah Nurfisya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Periang, Karai selepas dibawa keluar dari HRPZ II malam sebelumnya.
Pada jam 8.40 pagi, semua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu untuk permohonan reman.
Pada masa sama, mula tersebar maklumat mengenai pergerakan terakhir mangsa. Difahamkan, pada siang hari mangsa keluar bersama seorang suspek menaiki Honda City sebelum dihantar pulang.
Pada sebelah malam pula, mangsa keluar makan bersama seorang lagi individu dipercayai suspek utama yang juga pelajar Kolej Vokasional, menaiki Perodua Bezza.
Sekitar jam 11 malam, mangsa sempat memuat naik status WhatsApp sedang makan, itu dipercayai detik terakhir sebelum mayatnya ditemui.
Setakat ini, motif masih belum diketahui dan siasatan masih berjalan. Polis juga mengesahkan kedua-dua kenderaan tersebut telah dirampas.
3 Mei – Ketua Polis Daerah Kota Bharu tampil menafikan dakwaan tular yang mengatakan mangsa ditikam sehingga 105 kali. Beliau menegaskan jumlah sebenar kekal 61 tikaman, berdasarkan laporan rasmi bedah siasat.
Menurutnya, angka itu tidak termasuk luka kecil atau kesan calar lain pada tubuh mangsa.
Beliau juga mengesahkan tiada tangkapan baharu dibuat setakat ini dan siasatan masih tertumpu kepada mencari motif sebenar kejadian.
Dalam perkembangan sama, pasangan warga emas yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis. Difahamkan, mereka adalah ibu bapa kepada salah seorang suspek remaja.
Kini, fokus siasatan terarah kepada dua remaja lelaki berusia 19 tahun yang masih dalam tahanan.
Kes ini terus menjadi perhatian ramai, dengan orang ramai berharap agar siasatan dapat merungkai motif sebenar dan keadilan dapat ditegakkan secepat mungkin.
















