Terkini

Ibu dan rakan tomboy disyaki dera anak tujuh tahun

Selesai bab pengundian, hari ni kecoh di media sosial seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun didera oleh ibu kandungnya sendiri dan rakan ibunya yang berperwatakan ‘tomboy’. Kejadian ini berlaku di sekitar Bandar Layangkasa, Pasir Gudang. 

Perbuatan ini terbongkar atas hasil keprihatinan yang sangat tinggi jiran-jiran sekeliling. Mereka telah menyerbu rumah pasangan tersebut dan telah menyelamatkan kanak-kanak ini daripada didera ibu kandung sendiri dan pasangannya.

Dalam satu video yang tular, menunjukkan kanak-kanak ini mengalami kecederaan teruk di bahagian belakang badan dipercayai kesan luka akibat melecur. 

Difahamkan, ibu kanak-kanak berkenaan adalah ibu tunggal berusia 27 tahu manakala seorang lagi wanita adalah rakannya yang berperwatakan seorang lelaki yang berusia 30 tahun.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat orang awam pada malam şemalam.

Tangkapan sudah dilakukan terhadap ibu kandung dan rakannya manakala mangsa telah dihantar ke HSI (Hospital Sultan Ismail) untuk rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai waris atau Orang Yang Layak dan Sesuai untuk memberi perlindungan sementara atau tetap terhadap kanak-kanak ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata, penilaian itu akan dilaksanakan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru bagi membolehkan kanak-kanak itu diberikan perlindungan daripada mereka yang layak, selepas mangsa keluar dari hospital.

Beliau berkata, sebelum ini, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu berada di bawah jagaan datuk dan neneknya di Kedah, dan baru setahun tinggal bersama suspek yang juga ibu kandungnya.

“Saya difahamkan bahawa kanak-kanak itu adalah dua beradik dan kedua ibu bapanya sudah bercerai.

“Mangsa baharu setahun tinggal bersama ibunya selepas berpindah daripada datuk dan neneknya, manakala kakaknya yang berusia sembilan tahun kini berada di Pokok Sena, Kedah.

“Pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai waris atau Orang Yang Layak dan Sesuai untuk penilaian bagi tujuan perlindungan sementara atau tetap selepas kanak-kanak itu ‘discaj’ dari hospital,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Pelbagai

Scroll to Top