PENYANYI Aufahanie memohon semua pihak untuk berhenti melakukan sebarang spekulasi mengenai kematian abangnya, Muhammad Nidza Afham Mokhtar menerusi laman X, hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan seseorang individu yang menyatakan kematian abang penyanyi itu berpunca dari teman wanitanya dan ketika ini individu berkenaan sudah menghapuskan ciapannya.
“Siapakah kamu untuk mengeluarkan kenyataan seolah-olah kamu mengenali abang saya dan teman wanitanya dengan rapat? Kami semua sangat rapat dengan arwah dan juga teman wanitanya.
“Telefon bimbit arwah ada pada kami, di whatsapp kami membaca perbualan mereka yang merancang untuk berkahwin.
“Sebelum abang saya dimaklumkan hilang, pada hari Ahad mereka berdua baru sahaja pergi ke ekspo perkahwinan. Mencari tempat untuk perkahwinan. Kami SAKSI, bahawasanya mereka dalam keadaan yang baik, sedang bahagia bersama-sama,” katanya.
Menurut Aufa, ketika ini beliau dan keluarganya masih menunggu keputusan rasmi daripada pihak hospital dan menganggap spekulasi itu tidak masuk akal.
“Siapakah kamu, untuk menyebarkan ketidakpastian tentang cara pemergian abangg saya, sedangkan kami sekeluarga masih menunggu keputusan dari pihak hospital. Siapakah kamu untuk membuat kenyataan tentang hubungan mereka yang sedang bermasalah? Siapakah kamu?
“Teman wanita abang saya sangat baik. Kalau bukan sebab dia, malam kejadian abang saya hilang, kami takkan tahu yang dia sudah hilang dan takkan tahu kemana nak cari dia. Allah temukan abang dan dia bersebab, sebagai pertolongan kepada kami dan juga Arwah Abang saya.
“Delete ciapan anda, berhenti sebarkan spekulasi dan FITNAH terhadap arwah abang saya yang tercinta. Kami sekeluarga tidak redha dan tidak maafkan kenyataan yang dibuat oleh anda” ujarnya.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan penemuan satu mayat lelaki dewasa memakai pakaian berwarna gelap bernombor 56 di sekitar Jambatan Sungai Klang, pada Rabu.
Pihak polis kemudian mengesahkan mayat lelaki berkenaan adalah Nidza Afham.
Baca juga: