Pempengaruh media sosial, Space Dollah, berkongsi detik cemas apabila hampir kehilangan nyawa ketika bercuti bersama keluarga di Bali, Indonesia baru-baru ini.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Dollah mendedahkan dia hampir lemas ketika sedang mandi laut bersama adiknya, Syed Saddiq serta beberapa ahli keluarga lain.
Teruskan MembacaMenurut Dollah, pada mulanya dia begitu yakin untuk berenang ke kawasan yang lebih jauh kerana menganggap keadaan ombak masih terkawal. Namun tanpa disedari, arus kuat mula menariknya semakin jauh ke tengah laut.
“Saya memang pandai berenang, jadi saya fikir semuanya okey. Tapi saya silap. Semakin ke tengah, ombak semakin kuat dan saya mula sedar saya sudah terlalu jauh dari pantai,” katanya.
Situasi menjadi lebih mencemaskan apabila dia gagal kembali ke pantai walaupun sudah cuba berenang sekuat tenaga. Malah, kakinya juga sudah tidak mencecah dasar laut menyebabkan dia mula panik.
Lebih menakutkan, jeritan meminta tolong sebanyak tiga kali langsung tidak didengari ahli keluarganya yang berada berhampiran ketika itu.
Ketika merasakan ajal sudah semakin dekat, Dollah mengakui dia sempat mengucap dua kalimah syahadah selepas terminum banyak air laut.
Namun dalam keadaan genting itu, Syed Saddiq tiba-tiba muncul dan membantu menolaknya dari belakang sehingga berjaya kembali ke pantai.
“Saya betul-betul fikir itu pengakhiran hidup saya. Kaki dah terlalu lemah untuk berenang. Mujur Saddiq datang dan tolak saya sampai ke pantai.
“Kalau masa itu dia tak datang, mungkin saya dah tak ada,” katanya sambil mengakui terhutang budi kepada adiknya itu.
Selepas selamat, Dollah berkata dia tidak dapat menahan emosi dan menangis kerana masih terkejut dengan pengalaman yang disifatkannya sebagai paling menakutkan dalam hidup.
Dalam masa sama, dia turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu yakin ketika berada di laut walaupun pandai berenang kerana keadaan ombak dan arus boleh berubah pada bila-bila masa.
“Jangan anggap laut selamat hanya sebab kita pandai berenang. Pengalaman di Bali ini memang buat saya serik,” katanya.
















