Pelakon dan usahawan Singapura, Nick Mikhail Razak yang juga suami kepada pempengaruh media sosial King Coco, meluahkan rasa terkilan selepas penyanyi Aliff Aziz membatalkan persembahan di majlis pelancaran produk isterinya pada saat akhir walaupun wang deposit sebanyak RM1,500 telah dibayar.
Menurut Nick, telah berunding dengan Aliff sejak 19 Mei lalu dan deposit telah pun diserahkan. Namun seminggu sebelum acara, Aliff memaklumkan jadual penggambarannya di Indonesia yang sepatutnya tamat 18 Jun telah dilanjutkan sehingga 23 Jun.
Teruskan MembacaLebih mengecewakan Nick hanya menerima mesej daripada Aliff yang menyatakan dia tidak dapat hadir sehari sebelum majlis berlangsung.
“Kami sudah siap berlatih dan saya pilih sendiri lagu yang sesuai untuk dia nyanyikan. Acara ini bukan sekadar bisnes, tetapi sesuatu yang sangat peribadi buat saya dan isteri.
“Sebab itu saya mahu orang yang saya anggap keluarga dan sahabat rapat bersama-sama meraikannya,” katanya kepada media di majlis pelancaran produk IAmCoco di W Hotel, Kuala Lumpur.
Nick yang setia mempertahankan Aliff sejak 2017 berkata, beliau sentiasa berada di belakang penyanyi itu meskipun menerima kecaman orang ramai.
“Daripada isu lama, perceraian, kontroversi sampai yang terbaru, saya sentiasa ada di belakang dia. Orang hentam saya sebab pertahankan Aliff pun saya tak kisah.
“Saya yang bantu uruskan platform untuk dia menjelaskan keadaan ketika dia bercerai sebelum ini. Walaupun saya tahu dia ada buat kesilapan, sebagai seorang sahabat, saya tetap berada di belakang dia,” ujarnya.
















