Selain kemelut politik yang kembali melanda Britain susulan peletakan jawatan Perdana Menteri, Keir Starmer, perhatian ramai sekali lagi tertumpu kepada penghuni paling terkenal di No. 10 Downing Street seekor kucing belang kelabu dan putih yang dikenali sebagai Larry.
Larry menjadi bualan ramai kerana status uniknya sebagai penghuni paling lama di kediaman rasmi Perdana Menteri Britain. Kucing itu telah menyaksikan pertukaran enam perdana menteri sejak mula menetap di Downing Street pada 2011.
Teruskan MembacaKucing yang memegang gelaran rasmi “Chief Mouser to the Cabinet Office” itu mula dibawa masuk selepas dipilih dari pusat perlindungan haiwan Battersea Dogs & Cats Home bagi membantu menangani masalah tikus di bangunan bersejarah tersebut.
Sepanjang hampir 15 tahun berkhidmat, Larry telah melalui era pentadbiran David Cameron, Theresa May, Boris Johnson, Liz Truss, Rishi Sunak dan terbaru Keir Starmer. Dengan peletakan jawatan Starmer, Larry kini bakal menyambut ketibaan Perdana Menteri ketujuh sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Selain menjadi saksi pertukaran kepimpinan politik Britain, Larry turut berada di Downing Street ketika pelbagai peristiwa bersejarah dunia berlangsung, termasuk lawatan pemimpin antarabangsa seperti Barack Obama dan Volodymyr Zelenskyy.
Keunikan rekod yang dimiliki Larry menjadikannya antara “pegawai” paling berpengalaman di Britain, malah ada yang berseloroh bahawa karier politik perdana menteri datang dan pergi, tetapi Larry tetap kekal di Downing Street.
















