Satu insiden tegang dalam penerbangan AirAsia baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila seorang penumpang wanita bertindak agresif di dalam pesawat sehingga mencetuskan kekecohan.
Kejadian dilaporkan berlaku dalam penerbangan dari Chongqing ke Kuala Lumpur, apabila wanita tersebut mula meninggikan suara terhadap kru kabin selepas permintaannya tidak dipenuhi. Situasi menjadi semakin tegang apabila dia turut menuduh penumpang lain merakamnya tanpa kebenaran.
Teruskan MembacaMenurut perkongsian yang tular, wanita itu dikatakan sudah menunjukkan tanda-tanda tidak berpuas hati lebih awal sebelum insiden memuncak. Malah, dia turut mempertikaikan kru kabin yang tidak fasih berbahasa Mandarin dan menuntut pampasan serta-merta.

Namun di sebalik kekecohan itu, tindakan kru kabin mengendalikan situasi dengan tenang dan profesional mendapat pujian ramai. Salah seorang kru dilihat berdiri di hadapan penumpang berkenaan sambil cuba meredakan keadaan tanpa menimbulkan provokasi.
Apa yang paling mencuri perhatian netizen ialah ‘isyarat tangan’ yang digunakan kru kabin ketika berdepan situasi tersebut, dilihat sebagai simbol kawalan dan ketenangan, hingga ada yang menyifatkannya sebagai “kuasa tangan rakyat Malaysia”.
Keadaan akhirnya memaksa kapten mengambil keputusan untuk berpatah balik ke terminal bagi memastikan keselamatan semua penumpang. Wanita tersebut kemudian dikeluarkan dari pesawat oleh pihak berkuasa, manakala penerbangan dilaporkan mengalami kelewatan.
Di media sosial, rata-rata netizen mengecam tindakan penumpang berkenaan, namun dalam masa sama memuji tahap kesabaran serta profesionalisme kru kabin yang berjaya mengawal situasi dalam keadaan mencabar.
Insiden ini sekali lagi mengingatkan bahawa dalam situasi tegang, ketenangan dan profesionalisme adalah kunci utama, dan kru kabin membuktikannya dengan cara yang cukup ‘kelas’.
















