Ketiadaan Datin Lisa Surihani yang kini berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah Haji ternyata memberi sedikit kelainan dalam rutin harian Datuk Yusry Abdul Halim.
Menurut Yusry, sepanjang isterinya berada di Makkah, perkara yang paling dirasainya adalah hilang sokongan dan kehadiran insan yang sentiasa berada di sisinya selama ini.
Teruskan MembacaKatanya, walaupun tidak sentiasa bersama setiap masa, kehadiran Lisa sebelum ini sudah cukup memberikan semangat dalam menjalani kehidupan seharian serta komitmen kerjaya.
“Kalau saya hadir ke acara atau ada penggambaran, biasanya Lisa ada bersama. Walaupun tidak sentiasa berada di depan mata, saya tahu dia ada dan itu sudah cukup memberi semangat.
“Masa saya menjalani penggambaran drama sebelum ini pun, dia selalu datang ke lokasi untuk memberi sokongan,” katanya.
Dalam pada itu, Yusry turut mengakui kini dia lebih memahami pengorbanan seorang ibu selepas mengambil alih hampir semua urusan anak-anak ketika ketiadaan Lisa.
Menurutnya, tugas harian seperti menghantar dan mengambil anak dari sekolah serta memantau kerja sekolah kini menjadi tanggungjawabnya sepenuhnya.
“Saya jadi macam ‘full time dad’ sekarang. Hantar anak ke sekolah, ambil mereka balik, semak kerja sekolah dan urus macam-macam perkara di rumah.
“Sebelum ini saya rasa banyak perkara itu berjalan secara automatik sebab Lisa yang uruskan. Bila buat sendiri, barulah saya sedar besarnya tanggungjawab seorang ibu.
“Bila isteri tiada, kita kena buat kerja ayah dan kerja ibu sekali. Sebab itu saya kurangkan kerja di luar buat sementara waktu,” ujarnya.
Berkongsi mengenai tempoh berjauhan dengan isteri, Yusry berkata ini merupakan kali paling lama mereka berpisah sejak mendirikan rumah tangga 14 tahun lalu.
“Sepanjang kami bersama, memang tak pernah berjauhan selama ini. Tapi Lisa pergi untuk beribadah, jadi saya hanya mampu menunggu dan mendoakan semuanya dipermudahkan.
“Insya-Allah, kami sekeluarga tak sabar menantikan kepulangannya,” katanya.
Terdahulu, Lisa Surihani berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah Haji dan dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.







