Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Kerajaan Persekutuan akan terus membuat pemantauan ke atas situasi banjir di Kelantan bagi memastikan mangsa banjir mempunyai tempat berteduh.

Kata Anwar, pihaknya turut berusaha mengatasi kesan buruk yang dialami oleh penduduk setempat.

“Usai tiba di Kota Bharu, Kelantan, saya langsung diberi taklimat ringkas berkaitan perkembangan terkini situasi banjir dan pengoperasian pasukan keselamatan kita.

“Sambil diapit Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, taklimat itu juga memperincikan masalah yang dihadapi, cabaran operasi, status mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) selain pemberian bantuan kepada yang terkesan dengan bencana banjir.

“Agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sedang bekerjasama rapat bagi memastikan urusan kebajikan mangsa banjir yang diberi keutamaan pada setiap masa,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Pada masa sama, beliau turut melawat Jambatan Lubok Jong, Pasir Mas bagi melihat sendiri kesan banjir dan langkah untuk mengatasi masalah banjir di kawasan itu.

Beliau turut singgah PPS di SMKA, Kampung Banggol Manok untuk mendengar sendiri masalah dihadapi mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah berkenaan. — KL VIRAL

Baca juga: