Terkini

Lelaki cedera kepala dihempap ‘pokok Krismas’

Sambutan Krismas seorang warga Singapura bertukar menjadi pengalaman pahit apabila pokok Krismas hiasan tergantung di sebuah pusat beli-belah, Kuala Lumpur, jatuh menghempap kepalanya ketika mengambil gambar anak dan isteri, semalam.

Isteri mangsa, Aileen Tan, 39, berkata mereka masih terkejut dan tidak menjangka kejadian itu sama sekali.

Katanya, dia dan suami, Julius Lee, 44, berada di luar merry go round untuk mengambil gambarnya dan anak perempuan berusia tiga tahun sebelum kejadian. 

“Secara tiba-tiba, hiasan pokok krismas jatuh. Memang terkejut dan tak jangka sama sekali. Ia berlaku sangat pantas.

“Mujur anak bersama saya. Kalau dia dalam stroller (kereta sorong kanak-kanak), mesti dia pun kena sama. Cuma dia terkejut dan terus menangis,” katanya kepada media.

Menurutnya, suami mengalami bengkak pada kepala dan dibawa ke klinik oleh pengurusan pusat beli-belah terbabit.

Keluarga berkenaan tiba pada Rabu lalu bagi meraikan sambutan Krismas.

“Kami datang untuk menyambut Krismas. Hari ini memang rancang untuk berjalan-jalan dalam pusat beli-belah ini. Malangnya, lain pula yang terjadi,” katanya.

Ketika kejadian, pengunjung yang berada di situ turut terkejut dan cuba membantu mangsa sebelum pasukan keselamatan beli-belah tiba.

Susulan kejadian itu, pihak pengurusan beli-belah segera mengalihkan pokok hiasan yang terjatuh.

Bagaimanapun, orang ramai tetap mengabadikan kenangan untuk bergambar dengan perhiasan Krismas yang disediakan.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top