Terkini

“Jangan buruk sangka dengan SPRM” – PM jelas isu rasuah bukan untuk ‘lanyak’ bekas pemimpin

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya menjalankan tugas siasatan berkaitan rasuah dan tidak menyasarkan kepada mana-mana bekas pemimpin.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tegas memberitahu, amanah dipukul SPRM adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi membanteras rasuah tanpa mengira status serta kedudukan.

“Itu urusan SPRM, tetapi saya tidak mahu orang anggap ini (rasuah) perkara yang kecil. Kes baharu atau lama, semua disiasat.

“Janganlah berburuk sangka menganggap tindakan SPRM hanya menyasarkan kepada orang tertentu dan sebagainya seakan-akan memberi gambaran terdapat jerung-jerung besar terlepas.

“Saya tidak mahu (dianggap) memerangi rasuah dengan menekan (bekas pemimpin) di bawah,” katanya selepas majlis ramah mesra bersama petugas dan kakitangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, Johor lapor Harian Metro.

Dalam pada itu, Anwar turut mengulas akan ada siasatan lanjut terhadap nama-nama besar yang muncul atas kesalahan rasuah.

Sebelum ini, SPRM difahamkan telah memanggil empat individu bagi membantu siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Susulan itu, isteri Tun Daim, Toh Puan Naimah Khalid dilaporkan mendakwa suaminya dianiaya disebabkan kejayaannya sebagai ahli perniagaan sehingga digelar hartawan dan jutawan biarpun sebelum menyertai kerajaan.

Selain itu, SPRM turut mengesahkan merakam keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan berhubung dana RM700 juta bagi tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

Terlibat sama dalam merakamkan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, dua anak Tun Daim iaitu Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin.

Keterangan ketiga-tiga ahli keluarga tokoh konglomerat ini diambil bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara yang berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Daim.

Oleh itu, Anwar menyatakan beliau tidak mengambil pusing dengan segala cemuhan beberapa pihak dalam tindakan agresif pentadbirannya memerangi rasuah.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top