SELEPAS hampir tiga tahun berbalah di media sosial, penyampai radio, Ajak dan pelawak, Shahrol kembali berdamai dan memulihkan hubungan persahabatan antara mereka.
Ajak, atau nama penuhnya Mohd Hanafi Razak, 39, berkata kedua-dua mereka berjaya menyelesaikan sengketa antara mereka tanpa campur tangan pihak lain.
Teruskan Membaca“Inilah asam garam kehidupan dalam persahabatan. Sepanjang kami mahu berbaik, tiada pihak yang masuk campur antara kami.
“Tiada siapa yang melaga-lagakan kami dan masalah dapat diselesaikan secara matang. Maka, perbalahan selama tiga tahun ini selesai,” katanya, lapor mStar.
Ajak turut memberitahu bahawa kedua-dua mereka menurunkan ego masing-masing untuk menyelesaikan masalah yang berlaku antara mereka.
Ia kerena pada akhirnya tiada satu pihak pun yang betul sekiranya pergaduhan mereka diteruskan lebih lama lagi.
Ajak mendedahkan bahawa Shahrol dahulu yang menghantar mesej kepadanya yang meminta untuk berjumpa dan berbincang mengenai isu antara mereka.
Bermula daripada mesej tersebut, Ajak menceritakan bahawa perbualan antara mereka telah menimbulkan rasa rindu akan kenangan lama dan dia mendedahkan bahawa sudah tentu dia masih ada rasa sayang terhadap rakannya itu.
Untuk rekod, Ajak bersama Shahrol atau nama lengkapnya Shahrol Azizie Azmi, 38, adalah saudara sepupu yang bergabung membentuk kumpulan Shiro untuk menyertai pertandingan realiti Raja Lawak.
Tuah berpihak kepada mereka apabila meraih juara Raja Lawak musim keenam seterusnya mengungguli gelaran Maharaja Lawak Mega 2018.
Namun pada sekitar tahun 2022, berlaku perbalahan antara mereka yang saling berbalas kenyataan di media sosial hingga hangat diperkatakan oleh orang ramai termasuk peminat kumpulan tersebut. — KL Viral
Baca juga: