PADA zaman kini, urusan jual beli barangan semakin dipermudahkan apabila tidak perlu melibatkan penggunaan wang secara fizikal, dimana pendekatan cashless (tanpa tunai) telah diperkenalkan.
Pendekatan tersebut bukan sahaja digunakan oleh para penjual besar-besaran, malah pengusaha kecil seperti peniaga di pasar malam turut menggunakan kaedah pembayaran tersebut.
Teruskan MembacaDengan adanya pembayaran secara cashless, pembeli boleh menggunakan pelbagai kaedah pembayaran seperti transaksi atas talian mengguna nombor akaun, menggunakan kad debit ataupun membayar menggunakan imbasan kod QR.
Seperti video yang tular baru-baru ini, seorang peniaga pasar malam yang dikenali dengan nama Mok Yus menceritakan pengalamannya hampir ditipu oleh pelanggan yang membayar menggunakan kaedah imbasan kod QR.
“Dia (pembeli) menyatakan yang dia sudah membayar makanan yang dibeli sebanyak RM85 dengan menggunakan QR, namun saya perasan dia tidak menekan butang ‘pay‘ untuk menyelesaikan transaksi dan wang tersebut juga tidak masuk ke dalam akaun saya.
“Saya memberhentikan pembeli tersebut dan mengatakan duit yang dihantar tidak masuk ke dalam akaun maka dia tidak dibenarkan untuk membawa pulang makanan yang dibeli,” katanya dalam video tersebut.
Mok Yus kemudian berkata pembeli tersebut mulai naik berang dan bertindak membaling makanan ke arah makanan lain yang dijual olehnya.
Berniat mahu mempertahankan dirinya, Mok Yus pula bertindak membaling sudip di tangannya ke arah pembeli tersebut atas tindakan biadab pembeli yang sudah ‘kantoi’ atas pembayaran palsunya.
Menjengah ruangan komen video tersebut, rata-rata warganet memberi cadangan kepada peniaga tersebut untuk menggunakan sound box QR yang berfungsi untuk memberi notifikasi berbentuk bunyi sekiranya wang telah dimasukkan ke dalam akaun pemilik.
“Saya peniaga juga, saya pun dah banyak kena (ditipu), sekarang kami guna sound box QR, baru rasa aman,” komen Tini.
“Beli QR sound box mak cik, once terima bayaran box tu akan bagi notification,” kata Ganes.
“Saya dah beli sound box. Memang memudahkan, tak perlu nak terjeling-jeling tengok telefon customer. Apa pun, semoga digantikan yang lebih baik,” kata Yusri Abang Topi. — KL Viral
Baca juga: