PETALING JAYA: Dunia seni dan budaya Nusantara berduka dengan pemergian seniman legenda Indonesia, Titiek Puspa, yang meninggal dunia pada usia 87 tahun.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Medistra, Jakarta, setelah mengalami komplikasi kesihatan.
Teruskan MembacaTitiek Puspa, yang dikenali dengan karya-karya ikonik seperti lagu “Kupu-Kupu Malam” dan filem “Tiga Dara,” telah meninggalkan kesan mendalam dalam dunia seni selama lebih enam dekad.
Keperibadian beliau yang mempesona dan bakat luar biasa menjadikan beliau figura yang dihormati di seluruh rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook turut menyampaikan ucapan takziah atas pemergian seniman tersohor itu.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Saya dan keluarga mengucapkan takziah atas pemergian Ibu Titiek Puspa, seniman legenda Indonesia yang telah memberikan sumbangan besar kepada dunia seni dan budaya Nusantara.
“Kenangan menonton filem ‘Tiga Dara’ bersama bonda masih segar dalam ingatan, lantas memperkenalkan saya kepada bakat dan pesona beliau.
“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman,” katanya.
Pemergian beliau bukan sahaja dirasai oleh keluarga dan rakan-rakan tetapi juga oleh peminat seni di serata negara.