SHAH ALAM – Seorang suri rumah hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen selepas disyaki memuat naik komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Facebook miliknya, Januari lalu.
Tertuduh, Suhaila Abd Halim, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman, dan mohon untuk dibicarakan.
Teruskan MembacaMenurut pertuduhan, Suhaila didakwa dengan sengaja memuat naik satu komen yang dipercayai menghina dan menyakitkan hati pihak lain. Hantaran itu dikatakan dimuat naik pada 4 Januari, dan dibaca di Hospital Sungai Buloh keesokan harinya sekitar jam 8.30 pagi.
Kes ini dibuka bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara hingga setahun, atau kedua-duanya sekali. Jika kesalahan diteruskan, denda tambahan RM1,000 sehari boleh dikenakan.
Pendakwaan dijalankan oleh wakil MCMC, Fadhli Ab Wahab dan Mohamad Azmir Mohd Razali.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000. Namun Suhaila, yang hadir tanpa peguam, mohon jumlah itu dikurangkan kepada RM500 dengan alasan suaminya satu-satunya yang menyara keluarga.
Tapi mahkamah kekalkan jaminan RM10,000 bersama syarat tambahan: dia perlu lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak ganggu saksi sepanjang perbicaraan.
Kes akan disebut semula pada 17 September depan bagi penyerahan dokumen dan pelantikan peguam.