SYDNEY: Hujan selebat-lebatnya pun tak mampu halang ribuan rakyat Australia yang turun ke jalan hari ini, memenuhi Jambatan Sydney Harbour dalam perarakan besar-besaran March for Humanity demi menunjukkan sokongan terhadap Gaza yang kini sedang bergelut dengan krisis kemanusiaan paling teruk dalam sejarah moden.
Teruskan MembacaDari warga emas, keluarga bawa anak kecil, aktivis hak asasi, sampailah ke tokoh-tokoh terkenal seperti pengasas WikiLeaks Julian Assange pun turut serta berarak. Ada peserta yang bawa periuk dan kuali sebagai simbol kebuluran yang sedang berlaku di Gaza. Bendera Palestin berkibar megah walaupun langit kelabu dan hujan tak berhenti.
Suasana penuh emosi bila laungan “Kita Semua Palestin” bergema sepanjang jambatan, sambil orang ramai berjalan dengan payung di tangan.
Menurut pihak berkuasa Palestin, lebih 60,000 nyawa telah terkorban sejak konflik ini meletus hampir dua tahun lalu. NGO dan organisasi antarabangsa juga sahkan bahawa Gaza kini sedang berdepan kebuluran serius sebab makanan dan bantuan susah nak masuk.
Negara-negara dunia pun dah mula beri tekanan. Perancis dan Kanada dah iktiraf Palestin, manakala Britain beri sokongan bersyarat, nak gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan dulu.
Tapi Israel nafikan tuduhan punca kebuluran, malah tuduh Hamas curi bantuan dan kata pengiktirafan pada Palestin ni ibarat “ganjaran untuk keganasan.”
Untuk yang mungkin terlepas, konflik mula tercetus pada 7 Oktober 2023 bila Hamas serang selatan Israel dan bunuh lebih 1,200 orang serta tawan 251 tebusan.
PM Australia, Anthony Albanese pun dah bersuara. Dia sokong penyelesaian dua negara dan kecam tindakan Israel sekat bantuan dan serang orang awam. Tapi setakat ni, Australia masih belum rasmi iktiraf negara Palestin.
Salah seorang peserta yang menarik perhatian ialah seorang wanita berusia 80-an, Therese Curtis, yang berarak sambil suarakan rasa simpati terhadap rakyat Gaza:
“Saya turun berarak sebab rakyat Palestin tak dapat rawatan perubatan asas. Hospital dibom, bantuan tak sampai. Itu memang tak boleh diterima langsung.”
Jelas, makin ramai orang di seluruh dunia yang buka mata dan bersuara. Mereka mahukan keadilan untuk Gaza dan hentikan penderitaan rakyat Palestin yang dah terlalu lama dizalimi.