GEORGE TOWN: Seorang pelajar kolej yang pernah mencetuskan kontroversi lima tahun lalu kerana mencampak bayi baru lahir dari tingkap apartmen, hari ini terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi memutuskan pendekatan pemulihan lebih sesuai.
Teruskan MembacaHakim Rofiah Mohamad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan mental M Santhiea, 23, yang ketika kejadian baru berusia 18 tahun, serta laporan perubatan yang mengesahkan dia mengalami gangguan kemurungan teruk selepas bersalin.
Menurut laporan, Santhiea tidak dapat mengawal emosi ketika ditunjukkan gambar bayinya, menanggung rasa bersalah dan malu yang mendalam, malah masih berisiko untuk membunuh diri.
“Pendekatan pemulihan lebih baik berbanding hukuman penjara, kerana penjara hanya akan memburukkan lagi keadaan mental tertuduh,” kata Rofiah.
Kes yang berlaku di Bandar Baru Air Itam pada 2020 itu pada awalnya melibatkan pertuduhan membunuh, namun kemudian dipinda kepada pertuduhan membunuh anak sendiri (infantisid) di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan, khusus untuk ibu yang mengalami gangguan mental selepas melahirkan.
Santhiea pernah ditahan lebih tiga bulan sebelum dibebaskan dengan jaminan, dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan. Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menyatakan dia pernah cuba membunuh diri selepas kejadian dan kini bergantung pada ubat antidepresan.
Keluarganya membayar denda RM10,000 yang dikenakan oleh mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiah Dahlaan manakala peguam RSN Rayer mewakili Santhiea.