Terkini

Bayi maut didera bapa kandung

SEORANG bayi lelaki berusia enam bulan maut disyaki akibat menjadi mangsa deraan bapa kandung dalam kejadian di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang pada Selasa.

Penderaan dialami mangsa terbongkar susulan bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Kajang terhadap mayat mangsa yang menemui kesan kecederaan pada kepalanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman berkata, pada awalnya polis menerima laporan daripada bapa mangsa berusia 25 tahun pada pukul 8.52 pagi.

“Lelaki itu mendakwa bayinya ditemukan tidak sedarkan diri di rumah dekat sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma.

“Hasil pemeriksaan awal, tiada kecederaan oada badan mangsa sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat, pakar mengesahkan kecederaan mangsa bukan disebabkan kemalangan, tetapi disebabkan perbuatan jenayah ke atas mangsa,” katanya.

Berikutan itu, polis menahan bapa bayi berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun pada 11.30 malam hari kejadian untuk membantu siasatan.

“Suspek ditahan di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Kajang sebelum saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu.

“Majistret Mahkamah Bandar Baru Bangi membenarkan suspek direman tujuh hari sehingga 22 April ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan polis.

“Maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan S S Vikram ditalian 019-4737108 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top