KUANTAN: Seorang anggota polis cedera selepas ditetak dengan parang oleh seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental, dalam kejadian mengejutkan di Felda Bukit Kuantan petang semalam.
Insiden berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila sepasukan anggota dari Balai Polis Panching dikerahkan ke lokasi selepas menerima laporan berkenaan seorang lelaki yang mengamuk sambil membawa senjata tajam.
Teruskan MembacaMenurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, anggota terlibat, Koperal Mohd Shafril Izzwan Ismail, 37, mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, dagu dan jari tangan kiri ketika cuba menenangkan suspek.
“Semasa cuba kendalikan keadaan, anggota kita telah diserang menggunakan senjata tajam,” katanya.
Mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kini sedang dirawat di Zon Kuning.
Suspek, lelaki berusia 37 tahun yang tidak bekerja dan dipercayai mengalami gangguan mental, telah berjaya ditahan di lokasi kejadian. Pihak polis juga menemui beberapa bilah senjata tajam di tempat kejadian.
“Suspek telah dihantar ke Wad Psikiatri HTAA untuk pemeriksaan lanjut,” tambah Yahaya.
Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
Polis turut menyeru orang ramai agar terus peka dengan keadaan sekeliling dan segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa demi keselamatan bersama.
















