Terkini

Lelaki lalok acu pisau sudah ditahan

Polis menahan seorang lelaki ‘lalok’ yang mengacu pisau terhadap seorang wanita warga asing di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi tujuh saat yang memaparkan seorang lelaki bersenjatakan pisau menahan seorang wanita kira-kira jam 6 petang, semalam.

“Bertindak atas maklumat itu, anggota polis dari Balai Polis Sri Petaling pergi ke lokasi kejadian dan berjaya menahan seorang lelaki tidak jauh dari tempat terbabit.

“Kami merampas barang kes iaitu pisau lipat berwarna merah, telefon bimbit dan serpihan kaca dalam tangkapan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, siasatan awal dilakukan mendapati kejadian itu berlaku jam 2.30 petang, semalam.

“Pengadu iaitu seorang wanita warga asing membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Sri Petaling jam 6 petang, semalam.

“Menurut pengadu, dia tidak mengenali suspek dan lelaki itu dipercayai berada dalam pengaruh dadah,” katanya.

Beliau berkata, pengadu mengalami kecederaan sakit di bahagian dada dalam kejadian itu.

“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah dan tiga kes dadah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Sekseyan 15(1)a Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Pelbagai

Scroll to Top