Beberapa objek yang dipercayai boleh memberi petunjuk bagi merungkai pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin diperoleh polis menerusi pemeriksaan dari rumah ke rumah di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata polis seterusnya akan menjalankan analisis ke atas objek berkenaan, sama ada ia mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan kanak-kanak istimewa berusia enam tahun berkenaan pada Rabu minggu lalu.
Teruskan Membaca“Kita perlu analisis terlebih dahulu semua penemuan-penemuan ini dan masih berusaha mengumpul bukti secukupnya,” katanya ketika dihubungi, namun enggan mendedahkan jenis objek diperoleh polis dalam pemeriksaan dijalankan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.
Dalam pada itu, beliau berkata, buat masa ini, belum ada perkembangan positif berhubung kes berkenaan dan polis masih meneruskan siasatan dalam usaha menjejak pembunuh Zayn Rayyan.
Ditanya sama ada polis mengeluarkan sebarang arahan khusus terhadap penduduk untuk kekal di blok mereka ketika pemeriksaan dijalankan, Hussein memaklumkan, penduduk boleh melakukan rutin harian mereka seperti biasa.
“Jika kita lakukan pemeriksaaan dan mereka tiada di rumah atau berada di luar kawasan, kita akan tunggu dan panggil mereka untuk ‘mass DNA screening’ (saringan DNA beramai-ramai),” katanya.
Terdahulu, anggota Unit Forensik PDRM yang menjalankan pemeriksaan selama kira-kira dua jam di setiap rumah di Blok R Apartmen Idaman malam tadi, dilihat membawa keluar dua kotak, dipercayai berisi bahan bukti bagi membantu siasatan.
Lebih 25 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan pemeriksaan itu, bermula jam 8.40 malam dan berakhir kira-kira 10.30 malam. Pemeriksaan dilihat bertumpu di tingkat dua dan tiga blok berkenaan yang mempunyai lima tingkat.
Mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berdekatan takungan air, 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, kira-kira jam 10 malam pada 6 Disember lalu.
Kematiannya pada awal diklasifikasi sebagai mati mengejut, tetapi kemudian disiasat sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu. -BHOnline
Baca juga: