Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, mengingatkan orang ramai agar tidak mendedahkan atau menyebarkan maklumat peribadi individu yang terlibat dalam insiden pemukulan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di pasar tani Chukai, Terengganu.
Beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut boleh diklasifikasikan sebagai ‘doxing’, yang bukan sahaja menyalahi etika digital tetapi juga berpotensi membawa kesan undang-undang.
Teruskan Membaca“Jangan kita jadi hakim swasta, yang mana kita memutuskan seseorang sebagai bersalah dengan sebarkan maklumat peribadi.
“Negara ini ada undang-undang dan kita perlu hormatinya. Serahkan kes kepada pihak polis untuk diambil siasatan. Jangan risau kerana tindakan akan diambil,” katanya pada majlis pelancaran Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa, Kelantan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu tular berhubung insiden penganiayaan lelaki orang kurang upaya OKU.
Pada Jumaat lalu, lelaki OKU itu dipukul selepas motosikal ditunggangnya melanggar gerai jualan di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai.