Dua lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan lima tidak sempat mengedar sebanyak 1,060 biji pil kuda bernilai RM11,660 selepas dicekup di tepi jalan di Pasir Pekan, Tumpat, di sini, Isnin lalu.
Kedua-dua suspek berusia 26 dan 17 tahun itu diberkas kira-kira pukul 2.55 petang ketika mereka sedang duduk di atas sebuah motosikal berhampiran kedai makan dan dipercayai sedang menunggu pelanggan.
Teruskan MembacaKetua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata, pemeriksaan menjumpai sebanyak 60 biji pil kuda di dalam beg silang yang dipakai salah seorang suspek .
Menurutnya, polis kemudiannya memeriksa poket seluar pelajar itu sebelum menemui sebanyak 1,000 biji pil kuda.
“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu negatif dadah. Suspek yang berusia 26 tahun itu memiliki tiga rekod lampau berkait kesalahan dadah.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut sama ada pelajar itu terlibat dengan sindiket pengedaran dadah sedia ada atau sebaliknya,” katanya, pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa lalu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.