PENGACARA terkenal, Datuk Aznil Nawawi sekali lagi menyentuh hati warganet dengan membantu orang yang memerlukan di sekelilingnya menerusi video yang tular baru-baru ini.
Perkongsian Aznil, atau lebih dikenali dengan nama panggilan Pak Nil kali ini benar membuktikan bahawa pepatah ‘rezeki tidak salah alamat’ itu benar apabila individu yang dibantunya itu merupakan seseorang yang sedang berada di titik terendah didalam hidupnya.
Teruskan MembacaVideo yang berdurasi 6 minit 35 saat tersebut memaparkan seorang lelaki yang merupakan penghantar makanan sedang berehat di hadapan restoran yang dikunjungi oleh pengacara tersebut.
Aznil kemudian memilih untuk mendekati lelaki tersebut dan mengajaknya untuk makan bersamanya di restoran tersebut.
Sambil menunggu makanan yang dipesan tiba, Aznil mengambil masa tersebut untuk bertanyakan serba sedikit mengenai kehidupan lelaki tersebut.
Namun, kisah hidup yang diceritakan oleh lelaki berkenaan cukup menyayat hati apabila dia memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan selepas dibuang kerja di sebuah kilang.
“Saya dibuang kerja di kilang tersebut kerana menjaga isteri saya yang sakit selama beberapa bulan,” kata lelaki tersebut dalam video berkenaan.
Lelaki tersebut menyatakan isterinya mangalami masalah jantung dan kemurungan yang teruk hingga memerlukan penjagaan rapi olehnya.
Lebih tragis, lelaki tersebut juga turut menghidap penyakit jantung namun masih tetap gigih untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja sebagai penghantar makanan.
Sebelum bergerak pergi, Pak Nil turut memberikan wang sumbangan buat lelaki tersebut.
Sebelum mengakhiri video tersebut, Aznil turut menyeru orang ramai untuk sering membantu orang di sekeliling tidak kira di mana mereka berada.
rata-rata warganet memuji tindakan murni yang dilakukan oleh Pak Nil, menyatakan tanggungjawab yang dipikul oleh lelaki berkenaan sangat besar namun diringankan oleh beliau.
“Pak Nil tak salah pilih orang untuk dibantu. Full respect untuk Pak Nil,” komen Tehoicesedap.
“Menangis saya dengar cerita dia. Dua-dua (suami isteri) ada penyakit dan mereka masih muda. Semoga awak berdua sembuh dari penyakit dan dimurahkan rezeki selalu,” kata Fitriwan.
“Aku doakan Pak Nil dan adik tu diluaskan rezeki, dilindungi Allah SWT dan diberi kesihatan yang baik,” kata AimanAirin2. — KL Viral
Baca juga: