Polis Melaka menahan enam rakan R. Darvnrajh, 24, yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan kejam pemuda itu sebelum mayat ditemui Sabtu lalu.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, siasatan mendapati, dendam lama menjadi punca mangsa dibunuh dengan kejam.
Teruskan Membaca“Kejadian itu berlaku sewaktu perayaan Deepavali pada 24 Oktober tahun lalu apabila semua enam suspek yang juga rakannya berumur 18 hingga 26 tahun membuat bising berhampiran rumah mangsa.
“Waktu itu, keluarga mangsa telah menegur termasuk membuat laporan polis menyebabkan kesemua enam rakannya itu ditahan polis dan sejak itu, mangsa didakwa berlagak dengan rakan-rakannya.
“Keadaan itu menyebabkan semua suspek berdendam sehingga menyebabkan mangsa dibunuh sebelum mayatnya ditemui berulat dan hampir reput dengan 18 kesan tikaman di tepi jalan berhampiran kebun kelapa sawit, Ladang Gadek, Kemuning, di sini, Sabtu lalu ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Zainol berkata, mangsa dipercayai dibunuh semua enam suspek kira-kira 5.30 pagi 10 September lalu selepas terserempak dengan Darvnrajh di Taman Mutiara, Tampin, Negeri Sembilan.
Semua suspek direman sehingga 24 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.