Jenazah 10 mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam tiba di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, awal pagi tadi.
Kesemua jenazah yang dibawa dengan menggunakan trak polis dan dua pacuan empat roda itu tiba pukul 1.20 pagi. Turut mengiringi, beberapa kenderaan membawa pasukan perubatan dan kereta polis.
Teruskan MembacaSemasa kenderaan itu tiba, ahli keluarga dan waris hanya dapat menunggu di laluan masuk ke unit berkenaan kerana mereka tidak dibenarkan memasuki ke pekarangan Jabatan Forensik ketika proses menurunkan kesemua jenazah dilakukan.
Difahamkan, proses bedah siasat akan dilakukan bermula 8 pagi ini.
Beberapa ahli kenamaan turut menunggu ketibaan jenazah.
Antara yang hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Turut terkorban, lima penumpang lain iaitu Khairil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Mohammad Taufiq Mohd. Zaki dan Idris Abdol Talib Ramali. Kesemua mangsa warga tempatan yang maut berusia 40 hingga 50-an.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat daripada Langkawi, Kedah itu sepatutnya mendarat di Terminal Skypark Subang pukul 2.50 petang.
Namun, dua minit sebum mendarat, pesawat berkenaan telah terhempas ke lokasi kejadian dan menghempas sebuah kereta dan motosikal.
Dalam nahas pukul 2.48 petang semalam, kesemua mangsa yang terlibat adalah lapan penumpang termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Dua anak kapal yang terbunuh iaitu Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.