Terkini

Letak makanan mentah atas lantai, ada najis tikus – DBKL arah dua restoran di tutup

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan dua restoran untuk menutup operasi selepas mendapati tahap kebersihan kedua-dua premis terbabit tidak memuaskan.

Dalam Operasi Sepadu Bersih yang dilakukan sekitar Ibu Kota, DBKL mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha kedai makan yang tidak bertanggungjawab dan mengambil sikap sambil lewa terhadap penjagaan kebersihan

“Ini termasuk meletakkan makanan mentah di atas lantai di samping terdapat kesan hurungan dan najis tikus di bahagian dapur dan lorong belakang premis di jadikan tempat penyediaan makanan.

“Arahan tutup operasi dijalankan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan28(1) WPKL 2016,” katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi operasi tersebut, seramai 52 petugas dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar di 41 premis sekitar Bandar Baru Seri Petaling, Jalan Pasai, Jalan Radin Anum 2, Jalan Dutamas 1 dan L2 Hartamas Shopping Centre.

Pada masa sama, pemeriksaan turut dijalankan di Jalan Raja Muda Musa Kampung Baru, Jalan Ampang dan di Jalan Landak serta Jalan Brunei.

“Pada operasi itu, kita turut mengeluarkan 57 kompaun atas pelbagai kesalahan kerana didapati melanggar Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016, Undang-Undang Kecil Pengendali Makan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap premis-premis terbabit kerana gagal mematuhi kehendak-kehendak kesihatan.

“Ini termasuk pemilik dan pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid dan menghadiri kursus pengendali makanan, tidak memasang perangkap minyak dan perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik menyebabkan tersumbat dan berbau,” jelasnya.

Pelbagai

Scroll to Top