Laporan awal nahas pesawat Beechcraft Premier 1 terhempas dan mengorbankan 10 nyawa di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu, sudah dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MoT), jam 10 pagi tadi.
Laporan setebal 60 halaman itu, antara lain bermula dengan pengenalan dan sinopsis, fakta mengenai pesawat dan tragedi menyayat hati itu, teknik penyiasat dan diakhiri dengan rumusan serta hasil siasatan.
Teruskan MembacaKandungan lain dalam laporan siasatan nahas pesawat dinaiki lapan individu dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) MoT itu ialah punca tragedi berkenaan, data nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan.
Hasil siasatan awal mendapati pesawat mempunyai sijil kelayakan udara sah dan diselenggara mengikut peraturan, juga mempunyai lesen dan layak untuk melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada.
Pesawat berkenaan bagaimanapun tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan (deceleration force) dan kebakaran selepas kemalangan.
“Kejadian berlaku pada waktu siang dengan jarak penglihatan yang jelas sehingga lebih 10 kilometer dan keadaan meteorologi yang baik.
“Tiada bukti ketidaupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan. PIC dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada,” menurut laporan berkenaan.
Pada 17 Ogos lalu, pesawat Beechcraft Model 390 Premier 1 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang. Tragedi itu meragut 10 nyawa termasuk lapan penumpang dan krew di atas pesawat dan dua pengguna jalan raya.
Laporan Awal boleh dimuat turun di pautan https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/a05-23.