Terkini

RMK12: Bantuan segera RM800 juta atasi gangguan air di Kelantan dan Sabah 

Bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di Kelantan dan Sabah, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan bantuan segera RM800 juta yang merupakan sebahagian daripada kos keseluruhan mencecah RM5 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kerajaan akan memulakan langkah untuk mereformasi model industri air di seluruh negara agar lebih mampan dan holistik, berikutan isu berhubung kait dengan air tidak berhasil (NRW) masih menyelubungi beberapa negeri yang menjadi cabaran kepada penyediaan bekalan air yang cekap kepada rakyat.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan telah memberi komitmen untuk membiayai projek tebatan banjir dengan kos mencecah hampir RM22 bilion. Keperluan peruntukan yang begitu besar bagi mengatasi masalah rakyat ini memberikan kewajaran untuk kerajaan menguruskan isu air dan banjir secara holistik dan bersepadu.

Kerajaan juga akan terus meneroka kawasan yang bersesuaian bagi pengekstrakan sumber air bawah tanah dengan membina lebih banyak telaga tiub dan pembinaan empangan bawah tanah,” katanya semasa membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 di Parlimen, di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, usaha akan digembleng untuk menyediakan sumber air mentah yang mencukupi melalui projek Takungan Air Pinggiran Sungai, yang akan dapat memastikan keterjaminan bekalan air bersih dan selamat kepada rakyat selaras dengan Agenda Transformasi Sektor Air 2040.

Anwar berkata, akta berkaitan pencemaran sumber air dan industri perkhidmatan air akan dikaji semula agar hukuman yang setimpal terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang melepaskan sisa tercemar ke dalam sungai bagi menjamin kemampanan sumber dan perkhidmatan air bersih untuk kegunaan rakyat.

Pelbagai

Scroll to Top