PUTRAJAYA – Lelaki, jangan ego sangat bila bab kesihatan! Disfungsi erektil (ED) bukan lagi isu taboo, tapi masalah sebenar yang boleh rosakkan hidup — bukan saja fizikal, tapi juga emosi dan hubungan dengan pasangan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, beri peringatan keras: “Dah tiba masa kita buang stigma, dan hadapi isu ini dengan ilmu dan tindakan matang.”
Ramai lelaki kat luar sana malu nak mengaku ada masalah ‘kejantanan’, padahal kajian tempatan tahun 2011 tunjuk 69.5% lelaki 40–79 tahun alami ED. Lagi mengejutkan, data NHMS 2019 dapati 31.6% lelaki dewasa hadapi ED tahap sederhana ke teruk!
“ED bukan setakat ganggu hubungan suami isteri, tapi boleh jadi petanda awal penyakit jantung dan masalah saluran darah serius,” katanya semasa pelancaran Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) terbaru untuk rawatan ED.
Garis panduan ini bukan biasa-biasa. Ia lengkap dengan cadangan rawatan profesional, algoritma klinikal dan pendekatan berdasarkan bukti saintifik — semua untuk bantu lelaki dapat rawatan terbaik, tanpa rasa malu atau segan.
“Lelaki, tolong jangan pendam. Kalau ada masalah, jumpa doktor. Jangan biar ego rosakkan hidup,” tegas Lukanisman.
KKM juga seru agar masyarakat buka mata dan hati, serta hapuskan stigma tentang kesihatan seksual lelaki. Dalam semangat Malaysia MADANI, semua rakyat berhak dapat rawatan tanpa diskriminasi.
Jadi Bro, kalau ada simptom — jangan diam. Cakap, bertindak, dapatkan rawatan. Kesihatan anda bukan bahan lawak.