BARU-baru ini tular mengenai usahawan terkenal, Mahadi Badrul Zaman, 40, yang dikatakan namanya dimasukkan dalam senarai amaran pelabur oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun X bernama, Najib Fazail, difahamkan Mahadi dikatakan menjalankan aktiviti pasaran modal tidak berlesen dalam urusan sekuriti berhubung pemasaran saham syarikat awam yang tidak tersenarai.
Teruskan MembacaNajib Fazail turut menyatakan bahawa gelaran Datuk Seri yang dimiliki Mahadi juga tiada dalam rekod penerima darjah kebesaran bintang dan pingat negara.

Membalas kepada isu tular berkenaan, Mahadi berkata dirinya tidak mengetahui mengenai isu berkenaan kerana tidak menerima apa-apa makluman dari SC mengenai amaran tersebut.
“Saya tidak melakukan perkara yang salah, menipu atau benda yang haram,” katanya.
Dalam pada itu, lapor Mstar juga, Mahadi yang juga merupakan suami kepada aktivis Heliza Helmi menyatakan dirinya dalam perjalanan ke pejabat SC dan sudah menghubungi pihak polis untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara berkenaan.
Isu mengenai Mahadi yang dikatakan sebagai scammer bukan perkara yang baharu kerana sebelum ini sebuah akaun Facebook dengan nama Pseudoscience Watch pernah membuat hantaran mengenai syarikat milik Mahadi, Kankyo Energy.
“Apakah bidang perniagaan yang Kankyo Energy ceburi? Ia merupakan satu misteri.
“Kankyo Energy telah laksanakan pelbagai acara, namun kesemua acara bukannya untuk mempromosi produk tetapi hanya untuk meraikan pencapaian peniaga. Ini adalah adalah antara wajah dan ciri-ciri utama money game scam,” kata kenyataan dalam hantaran milik Pseudoscience Watch.
Berbalas kepada isu berkenaan, Mahadi membuat laporan polis dan menegaskan agar hantaran tersebut dibuang pada April tahun lalu.
Namun, sehingga kini hantaran tersebut masih ada dan Pseudoscience Watch masih aktif dalam membongkar aktiviti ‘mencurigakan’ oleh Mahadi. — KL Viral
Baca juga: