Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan bahawa sebuah pesawat miliknya terpaksa melakukan pendaratan cemas hari ini.
TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan, pesawat jenis Beechcraft B 200T melaksanakan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada jam lebih kurang jam 1 tengah hari.
Teruskan MembacaMenurut kenyataan itu, pesawat No 16 Skuadron tersebut membawa empat anak kapal yang sedang melaksanakan latihan penerbangan. Kenyataan itu turut memaklumkan, pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 11.27 pagi.
“Semua anak kapal yang terlibat berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. “TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Sementara itu, susulan daripada insiden ini, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ditutup sementara dari jam 1.15 tengah hari sehingga 4.15 petang.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, penutupan itu bagi prosedur pengalihan pesawat terbabit.