Terkini

Kes COVID-19 meningkat 57.3 peratus pada ME47/2023 – KKM

Sebanyak 3,626 kes COVID-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 November lalu, meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata majoriti kes iaitu 48 peratus membabitkan mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Beliau berkata kes mingguan COVID-19 dikesan telah melepasi angka 1,000 pada setiap minggu sejak ME 41/2023 hingga ME 47/2023 dengan kadar peningkatan antara 7.1 hingga 57.3 peratus.

Dr Muhammad Radzi berkata terdapat lapan kluster COVID-19 yang masih aktif dilaporkan dengan 121 kes terlibat dalam kluster berkenaan.

“Jumlah kumulatif kluster yang dilaporkan hingga ME 47/2023 ialah 7,248. Majoriti kluster yang dicatatkan ialah kluster pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata kadar kemasukan pesakit COVID-19 termasuk yang disyaki virus itu ke fasiliti kesihatan meningkat kepada 2.9 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 47/2023 berbanding minggu sebelumnya.

Pada ME 47/2023, pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 0.4 peratus, manakala pengisian katil bukan kritikal COVID-19 (0.9 peratus) dan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) kekal pada 0.2 peratus.

Walaupun terdapat peningkatan kes COVID-19 menurut beliau, keadaan adalah terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

Empat varian Omicron baharu dilaporkan pada ME 47/2023 yang kesemuanya terdiri daripada varian membimbangkan (VOC).

Dr Muhammad Radzi berkata jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) ialah 28,102 kes dengan 27,297 kes merupakan VOC, manakala 805 kes VOI.

Bagi VOC, 72.8 peratus terdiri daripada varian Omicron, diikuti 26.3 peratus varian Delta dan selebihnya varian Beta dan Alpha, sementara bagi kes VOI, 785 kes (97.5 peratus) currently circulating VOI (519 kes XBB.1.16 dan sublineages, 251 kes XBB.1.5 dan sublineages, serta 15 kes EG.5 dan sublineages) telah dilaporkan.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Radzi berkata dua kes varian Omicron baharu BA.2.86 dilaporkan di Malaysia pada ketika ini dengan kedua-dua kes dirawat sebagai pesakit luar dan dalam keadaan stabil.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini melaporkan peningkatan varian BA.2.86 yang pertama kalinya dilaporkan pada 24 Julai lepas dan diklasifikasikan sebagai VOI.

Sehingga kini, terdapat hampir 46 negara melaporkan varian BA.2.86, namun tiada perubahan dari segi klinikal dan keterukan disebabkan varian berkenaan. – BERNAMA

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top