Terkini

Enam ditahan bergaduh gara-gara tak puas hati hantaran di media sosial

Tidak puas hati berkaitan hantaran di media sosial dipercayai menjadi punca seorang lelaki dipukul sekumpulan individu dalam kejadian di sebuah restoran dekat Taman Midah, Cheras pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner, Zam Halim Jamaluddin berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dan rakannya sedang makan di restoran berkenaan kira-kira jam 4 pagi.

“Mangsa didatangi sekumpulan individu yang bertindak membaling kerusi yang telah disusun ke arah mangsa.

“Mangsa kemudian dipukul oleh kesemua suspek terlibat mengakibatkan mangsa dan seorang rakannya mengalami kecederaan di bahagian pipi kiri, lutut kanan dan bengkak serta lebam di tangan kiri,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua suspek terlibat kini ditahan dan direman dua hari untuk siasatan lanjut berkaitan kejadian.

“Setakat ini siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat tidak puas hati disebabkan hantaran di media sosial.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majeed ketika dihubungi turut mengesahkan penahanan berkaitan kes terbabit.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top