Terkini

Tidak sengaja lepaskan tembakan, pengawal keselamatan disiasat

Tindakan seorang pengawal keselamatan yang secara tidak sengaja melepaskan satu das tembakan ke arah lantai di sebuah institusi kewangan di Jalan PJU 5/14, Kota Damansara, Petaling Jaya pada Selasa menyebabkan cermin di bahagian pintu masuk di situ pecah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Beliau berkata, polis menerima pemakluman kes itu pada jam 10.13 pagi daripada orang awam yang mendengar bunyi tembakan di institusi kewangan itu sebelum sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya ditugaskan ke lokasi.

“Hasil siasatan mendapati pengawal keselamatan berumur 50-an itu menggunakan senjata jenis pump gun telah melepaskan satu das tembakan ke arah lantai sehingga menyebabkan cermin di bahagian pintu masuk telah pecah.

“Tiada sebarang cubaan samun dan pengawal keselamatan itu juga negatif dadah. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

M. Hussin Sollehuddin meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya melalui talian 03-79662222.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah,” katanya. – Bernama

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top