Terkini

10 sekolah antarabangsa di KL, Selangor diancam bom

Sebanyak 10 buah sekolah antarabangsa di sekitar ibu negara dan Selangor dilaporkan menerima ancaman bom melalui hantaran emel.

Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan hari ini.

Allaudeen ketika dihubungi berkata, tiga buah sekolah di kawasan daerah Wangsa dan Dang Wangi telah menerima ancaman bom berkenaan.

“Bertindak atas maklumat serta laporan yang diterima, kita sedang menjalankan siasatan untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat pukul 5 petang ini, kita telah menerima sebanyak tiga laporan iaitu dua di Wangsa Maju dan satu di Dang Wangi,”ujarnya ringkas kepada Kosmo!

Sementara itu, Hussein dalam kenyataan hari ini berkata, sebanyak tujuh sekolah antarabangsa di Selangor yang menerima ancaman bom melibatkan daerah Petaling Jaya, Shah Alam, Kajang, Subang Jaya dan Kuala Langat.

“Kes ini adalah ancaman palsu. Sejurus sahaja menerima maklumat tersebut, pasukan Unit Pemusnah Bom dikerahkan untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Hasil siasatan ditempat kejadian sehingga 1 tengahari hari ini, kita tidak menemui sebarang bom yang tertanam di sekolah-sekolah yang dinyatakan,”katanya.

Beliau berkata, emel tersebut adalah satu berita palsu yang mahu mendatangkan kegusaran kepada pihak sekolah dan ibu bapa. -KOSMO! ONLINE

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top