Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menyelamat seorang warga emas keluar dari lokasi banjir kilat di Kampung Periuk, Kampung Baru di sini pada Selasa.
Menerusi gambar dikongsikan, dilihat sekurang-kurangnya empat anggota mengangkat wanita berkenaan yang duduk di atas kerusi roda.
Teruskan MembacaHujan lebat sekitar jam 4.30 petang menyebabkan lokasi berkenaan dilanda banjir kilat dengan air naik dianggarkan 0.2 meter.
Setakat jam 6 petang, ibu kota masih dilanda hujan lebat.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa membuat pemantauan sekitar Kampung Periuk pada jam 5 petang.
Menurut Komander Operasi, Mohamad Riduan Akhyar, seramai 19 orang mangsa terjejas dalam kejadian banjir kilat tersebut.
“Mangsa terlibat terdiri empat warga emas, lapan orang dewasa dan tujuh orang kanak-kanak,” katanya.