Kerajaan menerusi 10 agensi berlainan kini menyediakan sehingga 64 jenis bantuan yang pelbagai kepada usahawan tempatan, termasuk daripada golongan wanita dan belia untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.
Timbalan Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Saraswathy Kandasami menggesa usahawan supaya bertemu dengan agensi kerajaan terlibat untuk mengetahui kaedah mengembangkan bisnes mereka.
Teruskan Membaca“Kami menyediakan bantuan termasuk inisiatif pembiayaan, geran pemula serta bantuan dalam pembinaan kapasiti dalam bentuk latihan, khidmat nasihat dan pelbagai program lain untuk usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Malam Padanan dan Rangkaian Perniagaan anjuran Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Saraswathy menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat berharap supaya usahawan dapat mengetahui lebih lanjut mengenai bantuan yang disediakan sama ada menerusi persatuan, media atau jabatan kerajaan, seterusnya membuat permohonan.