Terkini

Fahmi beri bayangan khabar gembira untuk penjawat awam tahun depan

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memberi bayangan kemungkinan ada khabar gembira bagi penjawat awam pada tahun hadapan termasuk soal gaji.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata khabar gembira itu turut melibatkan golongan pesara, akan diumum Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara.

“Bagi mereka yang masih berkhidmat, pertama kita telah luluskan kertas putih Dasar Gaji Progresif bagi pekerja di sektor swasta, jadi bermula 2024 pelaksanaannya kita harap akan dapat memberi peningkatan pendapatan bagi pekerja sektor swasta.

“Pada masa sama bagi sektor awam, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah sebut sebelum ini kita ada mengkaji semula (skim gaji) dan menjelang 2024, insya-Allah gaji bagi penjawat awam akan naik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada forum Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam: Menjadikannya Lebih Cekap dan Berkesan anjuran Persatuan Alumni Pegawai Tadbir Diplomatik (Alumni PTD) di lnstitut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi berkata beliau difahamkan Jemaah Menteri telah mencapai beberapa keputusan yang membabitkan penjawat awam dan golongan pesara.

“…jadi akan ada berita baik pada 2024,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) masih menjalankan proses libat urus bagi meneliti keperluan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada terdedah serangan seksual di dunia maya.

“Kita belum bersedia bawa pindaan itu ke Parlimen kerana kita nak pastikan proses libat urus itu merangkumi dan mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata kerajaan akan memastikan aspek keselamatan dan kesihatan awam sentiasa dititikberatkan pada penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pihaknya akan berpegang kepada arahan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan terutama berhubung kes COVID-19 yang dilaporkan meningkat sejak kebelakangan ini.

“Waktu ini keadaan masih terkawal, tapi penting saya nyatakan sebenarnya bagi program 8 hingga 10 Disember ini lebih bersifat pameran untuk rakyat datang dapatkan perkhidmatan dan mengetahui kejayaan yang telah diusahakan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sebanyak 102 perkhidmatan kerajaan dibawa secara langsung kepada rakyat di bawah satu bumbung sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 hingga 10 Disember ini.

Ia diadakan bertujuan menyampai dan menyebarkan dasar-dasar kerajaan, dengan jangkaan lebih 200,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang tiga hari program berlangsung. – BERNAMA

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top