Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengutip sumbangan khususnya untuk rakyat Palestin.
Beliau berkata rakyat Malaysia amat terkesan dengan situasi di Palestin ketika ini, namun mereka perlu berhati-hati dalam menyalurkan sumbangan agar tidak tertipu.
Teruskan Membaca“Hati-hati dengan scammer (penipu) yang cuba mengambil kesempatan, kadang-kadang mereka letak gambar Masjid Al-Aqsa, kanak-kanak Palestin tetapi scammer. Saya pohon, kita rakyat Malaysia memang murah hati, mudah bantu orang tapi janganlah sampai tertipu. Duit itu tidak sampai kepada rakyat Palestin.
“Gunakan saluran rasmi dan rujuk kepada pihak berkuasa untuk mengesahkan sama ada tabung itu betul atau tidak,” katanya pada sesi temu bual bersama radio SABAHfm di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Digital Sabah, di sini hari ini.
Fahmi berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin Khamis lepas, sebagai tanda solidariti bersama rakyat negara itu yang dizalimi.