Terkini

Lesen peniaga di Jalan Silang dibatal, digantung jika sewakan premis kepada warga asing

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membatalkan atau menggantung sementara lesen peniaga di Jalan Silang, yang didapati melanggar peraturan perniagaan dengan menyewakan premis mereka kepada warga asing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, lesen yang diberikan kepada pemilik haruslah digunakan sebaik mungkin, bukannya diberikan kepada warga asing untuk berniaga.

“Jadi, saya sedang mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenainya, ia juga adalah antara tumpuan utama DBKL dalam membanteras lambakan peniaga warga asing yang terus menguasai lokasi perniagaan utama di ibu kota,” katanya.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kasih Harapan Kak Wan Siri 3, yang disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu maklumat menyeluruh daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah melaksanakan operasi bersepadu itu di Jalan Silang.

Terdahulu, seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin ditahan hasil serbuan terhadap 60 premis di sekitar Jalan Silang, hasil daripada operasi bersepadu yang dijalankan PGA PDRM bagi membanteras jenayah yang berlaku sekitar kawasan itu.

Sementara itu, Dr Zaliha dalam ucapannya berkata, program Rumah Harapan Kasih Kak Wan merupakan penghubung antara masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan dengan pelbagai agensi kerajaan, korporat dan pertubuhan bukan kerajaan yang sedia menghulurkan bantuan dan perkhidmatan bagi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, program itu yang menyediakan kemudahan pengubahsuaian tanpa kos kepada penduduk terpilih bagi mengubahsuai satu unit rumah, menunjukkan kerajaan komited untuk meningkatkan lagi taraf hidup rakyat khususnya rakyat miskin bandar supaya dapat memperbaiki persekitaran rumah.

“Saya yakin program ini akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat menerusi perkongsian perkhidmatan, maklumat dan kepakaran daripada semua pihak yang memerlukan,” katanya. – Bernama

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top