Terkini

Hina institusi diraja: Dua lelaki ditahan

Polis memberkas dua individu berhubung isu memuat naik hantaran di media sosial yang disyaki berbaur penghinaan terhadap institusi diraja.

Kedua-dua lelaki lelaki tempatan berusia 41 tahun dan 47 tahun itu diberkas di dua lokasi berasingan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek pertama ditahan berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap Institusi Diraja Johor.

Tambah beliau, tangkapan kedua pula melibatkan hantaran mengandungi kenyataan menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Suspek pertama merupakan lelaki tempatan berusia 41 tahun yang dipercayai pemilik dan pengendali akaun Facebook Flat Earth Malaysia ditahan di Kampung Sungai Kati, Ipoh, Perak.

“Sementara itu, tangkapan kedua melibatkan lelaki tempatan berusia 47 dipercayai pemilik dan pengendali akaun ‘Iman Mustaqim’ yang diberkas di sebuah kawasan di Langkap, Perak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Mohd Shuhaily, kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Sabtu.

“Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shuhaily menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu agama, kaum dan Institusi Diraja (3R). 

Pelbagai

Scroll to Top