Terkini

PM Anwar jaminan siasatan rapi dakwaan rasuah di KLIA

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan mengejut ke Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini dan berkata, terdapat
ruang untuk penambahbaikan bagi memantapkan pengoperasian di pintu masuk
negara ini.

PM turun sendiri buat lawatan mengejut ke KLIA
Anwar juga memberi jaminan untuk melakukan siasatan rapi terhadap isu membabitkan pegawai Imigresen di KLIA.
Bahkan,
katanya, tindakan juga akan diambil kepada pihak terbabit andai wujud
kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga menjejaskan kelancaran operasi
di lapangan terbang tersebut.
“Saya dapati ada ruang untuk penambahbaikan bagi memantapkan pengoperasian di pintu masuk negara ini.
“Saya
sempat bertegur sapa dan bertanyakan kepada anggota serta pegawai
bertugas berkenaan operasi harian, baik di kaunter ketibaan mahupun
pelepasan,” kata Anwar dalam kenyataan di Facebook beliau.
Beliau
membuat lawatan mengejut itu selepas kekecohan berlaku ekoran tindakan
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meminta
pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu salah
guna kuasa yang kronik di pintu masuk negara.
Tanpa diiringi
menteri Kabinet atau orang kenamaan, Anwar mengadakan lawatan mengejut
kira-kira 30 minit di KLIA itu, sebelum menyertai upacara keberangkatan
pulang Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah
Iskandariah ke tanah air, selepas menunaikan ibadah haji di Kompleks
Bunga Raya, KLIA di Sepang.
Menurut Anwar, kesempatan beliau
turun ke KLIA itu juga digunakan untuk melihat sendiri isu berbangkit
atau permasalahan sewaktu pengendalian harian membabitkan pelancong dan
warga asing selain warga tempatan.
“Berhubung insiden membabitkan
pelancong China baru-baru ini, saya memberi jaminan, siasatan rapi akan
dijalankan pihak berkuasa hatta perbincangan awal akan dilakukan dalam
mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.
“Sementelahan, tindakan juga
akan diambil pihak terbabit andai wujud kesilapan yang tidak sepatutnya
sehingga menjejaskan kelinciran operasi.
“InsyaAllah tahap
keselamatan dan pengoperasian di lapangan terbang negara akan senantiasa
ditambahbaik dalam memastikan perkhidmatan sewajarnya diberikan kepada
semua pihak,” katanya.
-AA

Pelbagai

Scroll to Top